Sebenarnya teleportal masa tu wujud.
Tak percaya?
Saya boleh buktikan. Jom sama-sama kita buat satu eksperimen.
14 Jun 2021, jam menunjukkan 2.17 pagi.
Beginilah rutin norma baharu, waktu anak tidur adalah waktu untuk bekerja.
Manakala perenggan yang tengah saya tulis ni pula pada 17 Jun 2021. Nak siapkan artikel dan publish tu pun tak tahu bila lagi yang pasti untuk masa akan datang. Terutamanya untuk diri saya yang lebih dewasa nanti.
Nampak?
Dengan tulisan, kita boleh patah balik ke masa lampau dan juga boleh bayangkan pada masa akan datang. Itulah proses yang berlaku bila kita menulis. Ada 1001 sebab kenapa anda perlu menulis dan setiap orang pasti ada sebab kenapa mereka menulis. Begitu juga saya.

Kisah saya terjebak dalam penulisan
Saya mula menulis sejak saya di alam universiti lagi, sekitar tahun 2012. Masa tu jugalah saya mula belajar buat website sendiri. Orang lain sibuk belajar, saya sibuk tengok youtube nak edit html, css kat blogspot.
Kenapa saya menulis waktu itu adalah sebab yang lebih kurang sama saya nak menulis semula, blog khususnya. Bagi saya habiskan dulu liku-liku perjalanan menulis saya, nanti saya ceritakan kenapa saya menulis.
Beberapa tahun kemudian sekitar tahun 2015, saya buat kerja sampingan sebagai konsultan unit amanah. Maka, tema penulisan pun beralih daripada blog kepada artikel kewangan.

Disebabkan nak serius dalam bidang kewangan kononnya, maka saya pun godek-godek wordpress pula khusus untuk konten kewangan. Daripada domain free wordpress notabebaskewangan, sehinggalah saya jumpa domain notawang.com .
Disinilah lahirnya tagline;
Pasakkan Ilmu Dengan Tulisan
Memahami kewangan menjadikan saya ghairah dan rasa ingin tahu tu makin membuak-buak. Maka, website menjadi tempat untuk saya pahatkan ilmu-ilmu kewangan yang saya pelajari.
Setelah 3 tahun, saya ubah angin ke bidang pemasaran pula khususnya dalam niche kewangan. Dari situlah saya mula bina konten dan artikel-artikel berkaitan kewangan.

Tapi yang sedihnya saya terlepas pandang domain notawang.com saya dah expired. Disebabkan sentimental value punya pasal, jadi saya pun beli dot my punya domain. Beli je tapi tak buat apa-apa pun. Tiba-tiba bulan 2 hari tu, domain dot com ada balik. Tanpa fikir panjang, terus saya beli.
Sekali lagi, beli je tapi tak tahu nak buat apa.
Ada juga rancang macam mana nak monetize, nak fokus niche apa, nak jual apa, bla bla. Akhirnya perancangan menuju kesempurnaan menjadi buntu. Sampailah detik-detik yang saya hadapi pada tahun 2012 iaitu ketika saya berjinak dalam penulisan kembali semula 14 Jun 2021 pukul 2.17 pagi.
RASA HILANG MINAT.
Macam-macam ragam bila buat website ni. Ada yang jenis dapat bayaran cepat, lambat pun ada, ada yang jenis tak nampak bayang-bayang pun ada. Begitulah adat berniaga ni.
Dalam badan sengal-sengal, otak penat, tak pasal-pasal habis 2 jam saya buat website ini semula. Saya nak menulis santai-santai. Tapi kali ni berbeza, saya tak mahu terikat dengan cara urus portal yang perlu fikir macam mana nak monetize. Bak kata Tuan Bukhari,
Money is by product. Fikir untuk bagi manfaat, selesaikan masalah orang.
Saya pun tak letak harapan untuk monetize daripada blog ini. Sekadar nak imbangkan antara minat dan kerja saya sebagai pereka web.
Kenapa anda perlu menulis?
Tak perlu saya huraikan, cari google anda boleh jumpa macam-macam sebab. Tapi satu sebab ni je kenapa saya dan anda perlu menulis, BERFIKIR.
“People who write a lot, also listen a lot. They also change their mind a lot. Not necessarily with new data, but sometimes re-analyzing the same data. They also work hard to disconfirm fundamental biases.”
Jeff Bezos
Otak kita perlu ruang untuk berfikir.
Jika kita longgokkan dengan sampah-sarap, masakan otak kita boleh berfungsi dengan optimum? Senario yang berlaku pada 2012 dan beberapa hari yang lepas memaksa saya untuk menulis, keluarkan segala benak dalam otak ini untuk beri laluan pada idea-idea yang segar.
Oleh sebab itu pada pandangan saya, mereka yang banyak membaca lebih cenderung untuk menulis. Semakin banyak membaca, semakin banyak info perlu dihadam. Bagi memastikan info baru terus diproses, yang sudah dihadam perlu dikeluarkan; boleh jadi dalam bentuk artikel, perbincangan, pendapat dan sebagainya.
Menulis buat saya leka dengan melihat sisi positif kisah silam saya dan jelajah masa hadapan yang lebih cerah.
Apa saya dah buat?
Apa saya dapat?
Bagaimana boleh beri manfaat kepada orang lain?
Soalan-soalan ni akan berlegar dalam otak tatkala jari lincah menari-nari di atas papan kekunci.
Feedback Loop
Tak dinafikan lagi menulis boleh wujudkan impak yang positif, tak terkecuali dalam hal ganjaran. Ganjaran boleh jadi pujian, pengikut yang bertambah, termasuk duit.
Jana duit melalui penulisan adalah salah satu sumber pendapatan saya selain reka web. Walaupun begitu, agenda dalam penulisan haruslah tidak terhad pada duit semata, ia lebih besar dari itu.
Jika mahukan orang dengar perjuangan bisnes anda, tulislah.
Jika mahu tajamkan lagi idea anda, juga dengan tulisan.
Lebih penting, jika hendak kenal diri kita yang sebenar, tulislah (buat jurnal).
Konsisten dengan tagline ‘Pasakkan Ilmu Dengan Tulisan’, apa-apa yang saya rasa bermanfaat daripada pemerhatian dan pembacaan saya, akan dipasakkan, dipahat dalam blog ini. Nama je nota WANG, tapi tidak khusus tentang kewangan pun.
Harapnya ia menjadi batu loncatan amal daripada ilmu yang saya peroleh seterusnya menjadi pokok yang memberi buah bagi mereka yang berteduh disini.